Tun Fatimah Bangkit di Pentas Teater
Nama Tun Fatimah bukan asing dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
Kini, kisah perjuangan srikandi agung itu dihidupkan semula dalam bentuk yang penuh warna dan semangat melalui pementasan teater ‘Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka’ yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jun di Panggung Bangsawan Melaka.
Teater ini bukan sekadar hiburan semata, tapi satu pengalaman yang membawa penonton menyelami sejarah melalui seni. Diterbitkan oleh Boolan Trending dengan kerjasama Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM), dan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Melaka menerusi JKKN Melaka serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pementasan ini memang sesuatu yang patut dibanggakan.
Kisah Cinta, Tragedi dan Keberanian
Dalam teater ini, penonton dibawa menyelusuri perjalanan Tun Fatimah seorang wanita yang terpaksa memilih antara cinta dan tanggungjawab, antara tragedi dan keteguhan diri.
Dikhianati, diuji, tapi tetap bangkit sebagai lambang keberanian dan kecerdikan wanita Melayu zaman silam.
Menurut pengarah teater, Lokman Ghani, karya ini bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tapi lebih kepada platform pendidikan dan penghayatan sejarah melalui seni yang dekat dengan hati masyarakat.
“Tun Fatimah bukan sekadar tokoh legenda. Dia adalah simbol wanita Melayu yang berani, cekal, dan berwibawa. Kami gabungkan elemen bangsawan klasik, silat teaterikal dan pendekatan moden supaya kisah ni lebih dekat dengan generasi sekarang,” kata Lokman.
Barisan Pelakon Hebat & Aksi Silat Memukau
Menariknya, teater ini dibarisi pelakon-pelakon terkenal seperti:
• Neera Azizi sebagai Tun Fatimah
• Ashraf Muslim sebagai Sultan Mahmud Shah
• Aziz M. Osman dan Radhi Khalid sebagai penasihat istana & watak antagonis
Dan paling dinanti penampilan istimewa juara dunia silat, Al Jufferi Jamari yang mempersembahkan aksi silat tempur secara langsung atas pentas.
Seni Budaya Sebagai Tarikan Pelancongan
Pementasan ini juga sejajar dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2025, dengan menampilkan warisan seni dan cerita sejarah sebagai salah satu tarikan utama.
Ini bukan sahaja membuka ruang untuk pelakon tempatan dan bakat baharu menyerlah, tapi juga membantu generasi muda menghargai sejarah dalam bentuk yang lebih visual dan hidup.
Nak Tonton? Boleh Terus Walk-in!
Kalau tengah cari aktiviti yang lain dari biasa minggu ni, boleh terus walk-in ke Panggung Bangsawan Melaka untuk dapatkan tiket. Bawa kawan, keluarga atau pelajar untuk tonton perjuangan wanita Melayu dalam versi yang penuh gaya!
Teater Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka
📅 13 – 15 Jun
📍 Panggung Bangsawan Melaka
🎟️ Tiket: Beli terus di pintu masuk
No comments:
Post a Comment