Total Pageviews

Baju Cantik Siti Nurhaliza Sebenarnya Rekaan Bianca Bella

Meski sudah berlalu, namun konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza masih hangat diperkatakan.



Selain paduan vokal yang tidak dinafikqn lagi, busana yang diperagakan oleh penyanyi nombor satu negara itu turut mencuri tumpuan.

"Momen indah pasukan kami" itu adalah gambaran buat pereka muda, Amirul Safwan.


Tiada kata yang boleh digambarkan saat melihat Siti memakai baju rekaannya lebih-lebih lagi dalam sebuah konsert mega penyanyi itu. 

Pengasas jenama Bianca Bella, Amirul, 28, yang merendah diri berkongsi dia dan pasukannya teruja saat melihat baju mereka menjadi pilihan dan digayakan dalam konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza baru-baru ini. 

"Segalanya bermula ketika kami diberi kepercayaan menyiapkan baju TokTi pada persembahan sempena tahun baru dan melawat Melaka 2024 lalu, di situ detik perkenalan bermula. 

"Bila mendapat peluang untuk menyediakan busana sempena konsert TokTi saya dan pasukan tahu ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan," katanya. 



Digelar Adik Bianca oleh Siti, Amirul berkata baju berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan serta dibantu Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah. 

Katanya, warna dan material yang digunakan bagi busana itu ialah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Siti. 

"Memang teruja pada masa sama gementar maklumlah kami masih setahun jagung tapi diberi kepercayaan oleh penyanyi hebat seperti TokTi. 

"Jujurnya tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini saya tidak pernah terlintas akan jahit dan reka pakaian untuk TokTi, ini semua rezeki sangat bermakna," katanya. 


Untuk rekod, Bianca Bella beroperasi di Duyung, Melaka sudah dua tahun aktif dan menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari. 

Lebih bermakna apabila baju rekaannya itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang memilih ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi Menyapa Dunia itu. 




Siti turut dipuji kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pereka muda untuk menyiapkan baju dalam konsert berskala besarnya. 

Perkongsian Siti pada hantaran di akaun Instagram miliknya mendapat hampir 40,000 tanda suka dengan 400 komen. 

Bercerita lanjut, Amirul mengakui terharu dan kagum dengan sifat merendah diri penyanyi kesayangan ramai itu. 

"Semua proses berjalan dengan lancar dan mudah. TokTi sangat profesional dan tahu apa yang diinginkan oleh dirinya. 

"Bagi kami pastinya berusaha mahu memberikan yang terbaik, Alhamdulillah dengan reaksi positif yang diterima lebih-lebih lagi untuk orang baru seperti kami," katanya. 

Amirul juga mengakui berkat doa ibu bapa juga antara yang memungkinkan segalanya dan menjadikan semua ini kenyataan. 

"Kami masih baru, ini permulaan yang sangat bermakna dan indah buat kami. Terima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kak Rozie dan pasukannya yang percaya pada kami. 

"Pastinya pengalaman ini sangat berharga buat Bianca Bella dan menjadi pemangkin untuk kami terus menjadi lebih baik," katanya. 

Baju rekaannya dalam rona emas merah hati gelap, digayakan oleh Siti pada segmen Bayu Timur di konsert yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

No comments: