Shuib Ucap Selamat Tinggal Kepada Suria FM

Hari ini, pendengar setia Suria FM dikejutkan dengan khabar duka apabila salah seorang penyampai mereka, Shuib mengucapkan selamat tinggal kepada stesen radio itu. 



Difahamkan, komitmen Shuib selama ini merupakan kerjasama bersama Suria FM dan telah berakhir pada hari ini (4 Disember 2023)

“Kerjasama yang telah terjalin selama hampir 2 tahun ini merupakan satu langkah strategik bagi Suria FM dalam rangka perancangan bagi tahun 2023 lalu melibatkan kolaborasi khas dengan Shuib untuk beberapa tempoh sahaja disamping beliau ingin menumpukan sepenuhnya kepada perniagaannya yang
semakin berkembang.

“Komitmen Shuib bersama Suria FM bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio, tetapi juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami. Mewakili keluarga Suria FM, kami berterima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio kami. Diharapkan beliau terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” ujar Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin)


Dalam beberapa hantaran yang dimuatnaik oleh Suria FM di laman Instagram, rata-rata peminat dan pendengar meluahkan rasa sedih atas perkhabaran tersebut dan berharap Shuib akan kembali pada masa akan datang.

Menurut Suria FM, persoalan mengenai siapa pengganti Shuib masih terlalu awal untuk diputuskan, namun mereka akan memaklumkan kepada umum mengenainya sebaik keputusan rasmi dicapai.

Dalam perkembangan lain, baru-baru ini Suria FM telah mengekalkan catat jumlah masa mendengar tertinggi antara 4 stesen radio komersial berbahasa melayu* iaitu selama 6 jam 37 minit sekaligus mencatat sebanyak 3.2 juta jumlah pendengar mingguan.


Keputusan berdasarkan kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2023.  Suria Cinta kelolaan DJ Lin masih ungguli ‘takhta’ catat jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) di antara stesen radio komersial berbahasa Melayu iaitu selama 3 jam 5 minit sepanjang Ahad hingga Jumaat dari jam 8.00 malam hingga 1.00 pagi.


Lebih menarik, segmen dihoskan oleh Cik Piah, Gaya Suria (10.00 pagi - 1.00 petang) dan Muzik Top Suria (1.00 petang – 3.00 petang), juga segmen Suria Petang kelolaan Sharifah Shahirah atau lebih dikenali sebagai Kak Rara dan Tyzo (3.00 petang - 7.00 malam) bersiaran sepanjang Isnin hingga Jumaat kesemuanya turut berjaya meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi di kalangan 4 stesen radio berbahasa melayu* sebanyak 2 jam 4 minit (Gaya Suria), 1 jam 46 minit (Muzik Top Suria) dan 2 jam 22 minit (Suria Petang).


Manakala segmen seperti Morning Morning Suria gabungan Ajak, Shuib dan Suraya sepanjang Isnin hingga Jumaat dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi merekodkan jumlah masa mendengar kedua tertinggi di kalangan 4 stesen radio berbahasa Melayu* sebanyak 2 jam 22 minit.


Menurut DJ Lin, dia meluahkan rasa syukur,  diatas keputusan kaji selidik yang dikeluarkan pada baru-baru ini kerana Suria berjaya mengekalkan jumlah masa mendengar tertinggi di kalangan 4 stesen radio komersial berbahasa melayu yang lain.

“Suria FM baru sahaja menyambut ulang tahun ke-16 pada 24 November 2023 dan keputusan bagi Wave 2, 2023 kali ini merupakan hadiah bermakna buat seluruh warga Suria FM. Terima kasih kepada semua pendengar yang masih menyokong dan memilih Suria sebagai radio pilihan di hati mereka dan menjadikan kami kekal relevan di industri radio sehingga kini.”

Suria FM juga membuktikan kedudukannya sebagai salah satu saluran digital kreatif pilihan ramai apabila platform digital Suria iaitu media sosial Suria Malaysia dan YouTube Suria TV sebelum ini berjaya meraih hampir tiga juta pengikut. 

No comments: