Total Pageviews

Filem Imam Tanpa Makmum Wajar Dipuji?

Imam Tanpa Makmum, sebuah filem romantik komedi terbitan produksi Indonesia, Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio bakal ditayangkan di pawagam bermula 30 November ini. 



Disebalik filem tersebut, siapa sangka ia merupakan naskhah sulung milik bintang muda Indonesia, Syakir Daulay yang berusia 21 tahun. Lebih membanggakan,  Syakir turut memegang posisi penerbit, pengarah dan pelakon dalam filemnya itu. 

Meskipun sedar cabaran besar yang menantinya, malah sempat dihalang oleh banyak pihak yang meragui kebolehannya pelakon kelahiran Aceh itu tetap berani mengambil risiko.


"Ya, memang bukan mudah pegang tiga posisi serentak dalam satu karya. Sebagai penerbit saya harus memastikan kru dan pelakon semua berada dalam keadaan baik dan di kerusi pengarah saya perlu pastikan  penggambaran berjalan seperti mana yang dijadualkan.

"Sementara di posisi pelakon saya perlu lontarkan nilai seni dab lakonan dengan baik. Cukup sukar, cukuplah dalam karya ini sahaja saya pegang begitu banyak tanggungjawab.

"Memang karya ini dibikin untuk saya belajar. Pada masa depan rasanya lebih selesa untuk berada di kerusi pengarah dalam karya yang dibikin sendiri.

"Jika karya orang lain, saya lebih suka menjadi pelakon sahaja," ujar Syakir yang memegang watak sebagai Imam.

Sementara itu, pelakon Rayisa Nayla Salwa yang pertama kali berlakon filem sebagai Zahra  berharap lakonannya dapat diterima dengan baik.

"Sebelum ini saya seorang model iklan dan juga pempengaruh media sosial, ini adalah percubaaan pertama dalam lakonan.

" Saya bersetuju untuk berlakon kerana Syakir yang merupakan sahabat saya. Andai selepas ini ada lagi peluang lakonan saya akan pertimbangkan," kongsi Rayisa.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Onprima Studio, Mohd Shahir Sulaiman, pihaknya memilih untuk menjalinkan kerjasama ini  kerana melihat Syakir Pictures memiliki misi dan visi yang sama dengan pihaknya iaitu ingin memartabatkan karya Nusantara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pihak kami amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Syakir Pictures menerusi karya yang disifatkan agak berbeza daripada kebanyakan karya seberang apatah lagi ia diarahkan oleh anak muda yang saya lihat mempunyai masa depan cukup cerah.

“Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk projek yang akan datang  dengan lebih banyak genre filem. Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton menerusi karya yang ditampilkan tetapi juga buat seluruh warga industri perfileman tanah air,” ujar Mohd Shahir.

Mengangkat tema nikah muda, filem Imam Tanpa Makmum yang menelan kos RM1.4 juta  terbitan dan arahan aktor,  Syakir Daulay ini agak berbeza daripada kebanyakan naskhah dari negara seberang itu.

Menyentuh tentang tema perkahwinan muda, menurut Syakir filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 19 Oktober lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan yang berbeza.
 
Filem Imam Tanpa Makmum yang dibintangi oleh Syakir Daulay, Rayisa Nayla Salwa, Vonny Felicia, Cut Mini Theo, Lukman Sardi dan Arif Brata itu akan mula ditayangkan dipawagam seluruh negara pada 30 November 2023.

Sinopis Imam Tanpa Makmum

Perjalanan tentang kisah Imam (Syakir Daulay) yang terpaksa mencari calon isteri selepas ibunya (Cut Mini Theo) memintanya untuk segera berkahwin. Meskipun hatinya enggan berkahwin muda, Imam seorang anak yang begitu patuh pada permintaan ibunya. 




Pertemuannya dengan Naira (Vonny Felicia), seorang pemain biola yang mempunyai rumah singgah untuk anak jalanan telah membuatkan Imam jatuh cinta. Sayangnya, ibu Imam menentang keras hubungan mereka kerana kehidupan malam Naira.

Sementara itu, pada masa yang sama seorang gadis bernama Zahra (Rayisa Nayla Salwa) yang merupakan pelajar pesantren (sekolah agama) telah bersedia untuk menjadi isteri Imam. Di manakah perjalanan Imam berakhir? Apakah ibunya bersetuju akan hubungannya bersama Naira atau memaksanya untuk bersama Zahra?

No comments: