Total Pageviews

BluntSheep Lancar Mini Album “Di Puncak Dunia"

Kadang-kadang, muzik bukan sekadar hiburan. Ia boleh jadi semangat, doa, dan suara yang menyatukan.


Kumpulan muzik tempatan BluntSheep, di bawah naungan Padu Records, melangkah setapak lagi dengan pelancaran mini album terbaru mereka, “Di Puncak Dunia”. 

Album ini hadir dengan empat buah lagu, termasuk trek utama berjudul sama, yang mengetengahkan mesej perjuangan, perpaduan, dan aspirasi untuk mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.

Menariknya, pelancaran ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures, di bawah inisiatif Dasar Kerajaan Madani.


Ia jelas menunjukkan betapa seriusnya usaha kerajaan dalam mengangkat bakat anak muda dan mengukuhkan industri kreatif tanah air.

Bagi BluntSheep sendiri, album ini lahir daripada rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air. Mereka mahu membuktikan bahawa walaupun berbeza, rakyat Malaysia tetap sejiwa. 

Sebagai simbolik, gitar mereka telah dihiasi warna Jalur Gemilang,  tanda cinta negara yang diterjemahkan dalam bentuk muzik.


Empat lagu yang ditawarkan dalam mini album ini:
Di Puncak Dunia
Lelah
Cinta Paling Hebat
Hanya Dia

Semua lagu ini boleh terus didengari di semua platform penstriman digital utama. Untuk info, BluntSheep dianggotai oleh tiga anak muda berusia 18 tahun  terdiri daripada Ata Rumnan, Umar Naufal, dan Mosses. 


Pemain bass asal mereka, Dzaff, kini sedang memberi fokus pada pelajaran, sementara buat masa ini mereka dibantu oleh Jayden (bass) dan Ariff Azmi (gitaris kedua).

Dalam kenyataan rasmi mereka, BluntSheep percaya mini album ini bukan sekadar karya, tapi simbol harapan bahawa nama Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia.

“Kami mahu muzik ini jadi inspirasi, bukan saja dalam negara, tapi juga di peringkat global,” ujar BluntSheep.


No comments: